"Ilmu bermula bukan ketika kelas dimulakan atau ketika helaian buku mula diselak tetapi saat rasa hati ingin untuk mempelajarinya." - Haliza Othman -

Sabtu, 8 Disember 2012

Kanak-kanak bermasalah pembelajaran... Adakah itu kesilapan mereka???


Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan suami isteri untuk mendapat zuriat yang berpontensi tinggi dan berkeupayaan mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi apabila dewasa kelak. Corak kehidupan masa kini amatlah memberi penekanan terhadap pencapaian intelek yang tinggi serta kemahiran yang sesuai dengan kehendak masyarakat dan negara. 

Namun...adakah apa yang berlaku pada dirinya adalah kehendak mereka??
Mari kita renungkan dan kaji di mana puncanya...
Mereka adalah cahaya dan anugerah yang perlu dididik menjadi insan sempurna.

 

Punca - punca timbulnya masalah pembelajaran di kalangan kanak - kanak boleh dibahagikan kepada dua kategori :
1. punca biologi                
2. Punca psikososial 


Punca biologi

Merangkumi faktor baka dan penyakit - penyakit yang menjejaskan fungsi otak dan urat saraf. Kekurangan oksigen sewaktu kelahiran ( asphyxia ), lembam lapisan otak (meningitis) dan sawan yang berpanjangan boleh menyebabkan disfungsi urat saraf (neurologi dysfunction).
 Pakar kanak -kanak juga telah lama menyedari bahawa kandungan plumbum yang tinggi dalam darah (lead poisoning) seseorang kanak - kanak boleh menyebabkan wujudnya masalah pembelajaran. Selain itu, banyak lagi bahan yang telah dikenal pasti sebagai punca masalah pembelajaran. Doktor dan ibu bapa perlulah peka terhadap hal ini supaya dapat mengurangkan risiko anak -anak terdedah kepada penggunaan bahan - bahan tersebut.


Punca psikologi

Pengaruh sekitaran yang tidak sihat , kurang rangsangan , kurang perhatian ibu bapa dan kemiskinan hidup akan menyebabkan kanak - kanak berkenaan mengalami masalah pembelajaran. Umumnya, unsur biologi berinteraksi dengan unsur psikososial. Oleh itu, setiap kanak - kanak yang menghadapi masalah ini perlu dirawat secara teliti dengan menggunakan pendekatan yang berasingan.


Satu kajian untuk mengenal pasti dengan lebih terperinci  punca -punca kegagalan dalam pelajaran telah dijalankan ke atas kanak-kanak dalam kelas pemulihan di tiga buah sekolah di selangor dan kuala Lumpur oleh LPPKN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan pada tahun 1986. Antara punca-punca yang dikenal pasti ialah kurang perhatian oleh ibu bapa dalam soal pelajaran anak-anak, kurang motivasi di kalangan kanak-kanak  itu sendiri serta lambat memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ada juga kanak-kanak yang menghadapi masalah lambat menguasai bahasa  yang seterusnya menjejaskan proses menguasai kemahiran membaca. Sesetengah kanak - kanak pula menghadapi masalah lemah pengamatan (perceptual weakness) dan lemah daya ingatan. Kurang keyakinan terhadap diri sendiri juga turut menimbulkan masalah pembelajaran. Kanak-kanak tersebut akan berasa takut untuk bercakap dan tidak gemar bergaul dengan rakan-rakan sebayanya.

Kenali Kanak-kanak Disleksia


APA ITU DISLEKSIA?
 
Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap disebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan. Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

CIRI-CIRI DISLEKSIA

Kanak-kanak pra-sekolah :
- Kemahiran bertutur yang lambat dan sukar memahami arahan
- Suka mengganti perkataan dan hiperaktif
- Kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah
- Seringkali terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari
- Tidak merangkak semasa bayi
- Suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri
- Sifat ingin tahu tinggi, berminat terhadap pekara baru dan suka bertanya banyak soalan

Kanak-Kanak Sekolah Rendah :

6 hingga 9 tahun
- Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor
- Menggunakan jari untuk mengira dan membaca
- Keliru dengan kiri dan kanan
- Tulisan cermin atau terbalik

9 hingga 12 tahun
- Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman
- Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan
- Kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks
- Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang
- Kelihatan tidak terurus semasa berada dirumah atau sekolah
- Kurang keyakinan dan menghadapi masalah tekanan jiwa
Sekolah Menengah :
- Kesukaran membaca dan terkeliru dengan perkataan dan ejaan yang tidak konsisten
- Kesukaran menulis karangan
- Keliru dengan nombor-nombor dan arahan oral
- Kesukaran mempelajari bahasa lain
- Lemah dalam kefahaman dan tidak mempunyai ramai kawan
- Jenis orang yang suka senyap
- Bercakap dengan nada yang kuat atau menjerit daripada konsisten
- Kurang kemahiran
bersosial


LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU KANAK-KANAK DISLEKSIA
 
- Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal bagi tujuan menaganinya
- Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
- Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi
- Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
- Membacakan cerita untuk anak-anak serta menjadi ahli persatuan sokongan ibu bapa
- Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika
- Mengamalkan suasan kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni
- Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik
- Memberi kebebasan yang terbatas serta nasihat untuk mengenal identiti sendiri
- Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai


Jumaat, 7 Disember 2012

Kaedah Pengajaran Pemulihan



Untuk pengajaran pemulihan yang berkesan, beberapa kaedah boleh digunakan. Antaranya adalah :
  1. Kaedah Kumpulan
  2. Kaedah Individu
  3. Kaedah Pengajaran Rakan Sebaya.


KAEDAH KUMPULAN
  • Kaedah ini bererti murid belajar dan membuat kerja dalam kumpulan. Kebiasaannya, kumpulan ini diwujudkan berdasarkan kebolehan atau pun perbezaan minat.
  • Dalam kelas saya sememangnya mudah mengajar secara kumpulan berbanding individu kerana murid mempunyai daerah kelemahan yang sama. Oleh yang demikian, bahan yang hendak dihasilkan juga mudah.
  • Dengan adanya kaedah ini akan dapat membantu kelancaran komunikasi sesama murid, saling bekerjasama dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi dan berkongsi idea.


KAEDAH INDIVIDU
  • Kaedah ini menekankan tumpuan guru hanya kepada seorang murid sahaja. Kebiasaannya, murid dalam kategori ini lebih mudah diurus kerana guru tidak mengalami gangguan ‘banyak mulut’ daripada murid semasa mengajar.
  • Guru akan lebih mudah fokus kepada objektif pembelajaran murid dan murid berasakan mendapat lebih perhatian daripada guru.


KAEDAH RAKAN SEBAYA
  • Apabila mengajar dalam kelas yang mempunyai tiga kelompok murid pemulihan dalam kuantiti yang banyak, saya akan menggunakan kaedah ini.
  • Kebiasannya, murid-murid yang dilihat matang dan lebih cerdik daripada rakan yang lain akan dibimbing dan dilatih untuk membantu melicinkan pengajaran dan pembelajaran saya pada hari berkenaan.




Khamis, 6 Disember 2012

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Untuk Murid-Murid Pemulihan


1. MENGENAL PASTI MURID YANG HENDAK DIPULIHKAN
2. MENGENAL PASTI MASALAH
3. STRATEGI PENGAJARAN
4. PELAKSANAAN
5. PENILAIAN

Huraian

1. MENGENAL PASTI MURID YANG HENDAK DIPULIHKAN
1.1      Berdasarkan IPP2M (Instrumen Penentu Penguasaan 2M)
1.2      Berdasarkan PKBS, atau
1.3      Berdasarkan pemerhatian guru, atau
1.4       Berdasarkan perbincangan dengan guru besar, guru darjah, guru Bahasa Melayu, ibu bapa, atau kesemua di atas.

                      
2. MENGENAL PASTI MASALAH
2.1       Masalah yang berkaitan dengan fizikal atau  deria murid:
2.1.1    Adakah murid itu mengalami kecacatan atau masalah penglihatan, pendengaran atau pertuturan.
2.1.2    Jika masalah tersebut ’agak berat’, ianya memerlukan bantuan pakar yang berkemungkinan dikategorikan sebagai murid pendidikan khas.
2.1.3    Jika masalah tersebut ’ringan’ – memadai dengan menjalankan ujian pengamatan serta latihan-latihan yang berkaitan.

2.2       Masalah yang berkaitan dengan akademik murid:
2.2.1    Jalankan ujian diagnostik mengikut prosedur (contoh ujian diagnostik terdapat dalam buku  Panduan - Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas – terbitan JPK)
2.2.2    Dalam buku tersebut ada 3 jenis ujian diagnostik BM, iaitu LISAN, PRAKTIK DAN BERTULIS. (Jalankan ujian LISAN dan BERTULIS sahaja)
2.2.3    Jangan fotostat semua helaian kemudian dibukukan dan diberi kepada murid untuk menjawab.
2.2.4    Beri sehelai demi sehelai. Masa menjawab tidak terhad. Guru tengok cara murid menjawab. Jika murid membuat kesalahan semasa menjawab, biarkan. Murid boleh menjawab secara individu atau kumpulan kecil.
2.2.5    Murid berhenti menjawab jika gagal menjawab 3 item berturut-turut. Jangan teruskan ujian.

2.3       Masalah yang berkaitan dengan hal-hal seperti sosial dan emosi;
2.3.1    Masalah sosial seperti:
·   Selalu tidak hadir ke sekolah
·   Tiada galakan keluarga
·   Kemiskinan
·   Takut
·   Malu
·   Rasa rendah diri, dan lain-lain
Perlu diselesaikan terlebih dahulu, dengan cara kaunseling, bantuan kewangan atau lain-lain bantuan yang difikirkan sesuai oleh pihak sekolah.


3.         STRATEGI  PENGAJARAN
3.1       Setelah selesai menjalani ujian diagnostik, guru perlu menganalisis  semua jawapan murid dan merekodkannya.
3.2       Guru menyenaraikan semua masalah yang dihadapi oleh murid.
3.3      Tampal senarai masalah di fail murid, agar mudah dirujuk.
3.4      Objektif Pengajaran – menjadi objektif yang ditulis dalam buku rekod mengajar.
3.5      Katakanlah ada 10 orang murid.  Kumpulkan mengikut masalah yang sama, atau yang hampir sama untuk memudahkan pengajaran guru.
3.6      Mungkin terdapat 2 atau 3 kumpulan. Guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan.
3.7      Berdasarkan contoh di atas. Katakanlah murid tersebut telah menguasai / membaca sukukata / perkataan kv + kv, guru terus beralih ke kemahiran seterusnya tanpa menjalankan ujian diagnostik lagi. Kemahiran tersebut perlu ditulis di ruangan ’objektif pengajaran’.
3.8      Catatkan tarikh murid berjaya menguasai di ruangan ’tarikh menguasai’


4. PELAKSANAAN
4.1       Guru perlu melaksanakan P&P mengikut turutan carta alir.
4.2       Terdapat beberapa kaedah pengajaran (membaca) seperti:
·   Kaedah abjad
·   Kaedah pandang dan sebut
·   Kaedah gabungan (bunyi)
·   Kaedah campuran, dan lain-lain
4.3      Guru boleh memilih mana-mana pendekatan yang bersesuaian dengan kebolehan murid dan keupayaan guru sendiri.
4.4      Pengajaran perlu meliputi 5 aspek: lisan, bacaan, tulisan, ejaan serta pemahaman.
4.5      Dalam kelas pemulihan khas – hanya kemahiran asas ditekankan, manakala kemahiran-kemahiran seperti menulis karangan dan tatabahasa dipertanggungjawabkan kepada guru kelas atau lebih kepada pemulihan dalam bilik darjah (pemulihan KBSR).


5. PENILAIAN
5.1      Penilaian dibuat kepada individu jika didapati seseorang murid itu telah dapat menguasai sesuatu kemahiran.
5.2      Sekiranya didapati masih gagal, guru perlu mengkaji sebabnya (mungkin strategi guru tidak sesuai, dan perlu mengubah strategi)
5.3      Jika murid tersebut telah berjaya menguasai sesuatu kemahiran, bolehlah beralih kepada kemahiran yang seterusnya.
5.4      Murid dikembalikan ke kelas biasa apabila didapati murid tersebut telah menguasai kemahiran asas membaca menerusi Ujian Pencapaian.